Pengenalan
Berbagai ragam krisis akhlak dan moral kini
terus menular, merebak dan mewabak dalam masyarakat kita khasnya di kalangan
remaja. Daripada kes bosia, hamil luar nikah yang diikuti dengan pembuangan
zuriat di dalam tong sampah, penderaan, gengsterisme dan vandalisme, rogol,
sumbang mahram, ketagihan dadah, hinggalah kepada mat rempit.
Ini terjadi kerana disebabkan oleh faktor-faktor
tertentu seperti mencari kepuasan nafsu, ingin membebaskan diri dari
kemiskinan, kongsi gelap, dadah, bertelingkah dengan ibu bapa , gagal dalam
peperiksaan , bosan duduk di rumah, trauma akibat perbuatan seks dan
sebagainya.
Bagaimana Membangunkan Akhlak Umat Islam
Menurut Syaikh Abdul Rahman al Midani; akhlak
manusia memang boleh berkembang dan boleh dibentuk dengan berbagai cara. Antara
cara-cara tersebut ialah melalui:
a- Latihan Amali Dan Amalan-Amalan Menjernihkan Batin
a- Latihan Amali Dan Amalan-Amalan Menjernihkan Batin
Pendidikan akhlak tidak hanya melalui
penjelasan mengenai nilai-nilai akhlak kepada masyarakat di mana mereka boleh
memilih dan menghargai nilai-nilai tersebut tetapi juga pendidikan akhlak boleh
dibuat berdasarkan latih tubi, perlaksanaan atau penghayatan yang berterusan
umpamanya. Walaupun di peringkat awal ia dilaksanakan kerana arahan atau
tekanan dari luar, namun lama kelamaan ia akan menjadi kebiasaan dan tabiat.
Manusia sememangnya berupaya memperolehi akhlak atau sifat yang mulia melalui
pendekatan ini. Rasulullah s.a.w. bersabda ( maksudnya ) :
"Suruhlah
anak kalian bersembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka
kerana meninggalkannya ketika umur mereka ( menjangkau ) sepuluh tahun.”
Seandainya sembahyang boleh dibiasakan sejak
dari kecil , maka puasa, zikir dan tilawatul Qur'an pun boleh diamalkan sejak
dari kecil dan secara berterusan; sehingga menjadi amalan yang lazim dan budaya
hidup. Amalan amalan ini pastinya lambat-laun akan menjadi adat atau kebiasaan
seseorang.
b- Meletakkan Diri Dalam Lingkungan
Persekitaran Yang Soleh
Persekitaran sosial dan budaya kerap
mempengaruhi manusia. Persekitaran tersebut merangkum tradisi, model
tingkah-laku dan saranan serta rangsangan yang bersifat akhlak. Manusia memang
sering terpengaruh kepada persekitarannya; dengan cara meniru serta mencontohi figure
yang disanjungi oleh mereka. Kewujudan seseorang dalam lingkungan masyarakat
yang baik serta soleh sudah tentu akan menyebabkan ia beriltizam dengan amalan
dan etika yang dihayati oleh kumpulan tersebut. Ia akan berusaha melaksanakan
sesuatu yang disanjungi oleh masyarakatnya. Sebaliknya, perbuatan yang dianggap
keji oleh lingkungannya, ia akan berusaha sedaya upaya untuk menghindarinya.
Dalam kontek menegaskan kesan lingkungan ini
Allah SWT berfirman:
وَالْبَلَدُ الطَّيِّبُ يَخْرُجُ نَبَاتُهُ بِإِذْنِ رَبِّهِ وَالَّذِي خَبُثَ لَا يَخْرُجُ إِلَّا نَكِدًا كَذَلِكَ نُصَرِّفُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَشْكُرُونَ
Maksudnya :
"Negara yang baik (makmur) akan menampilkan hasil mahsulnya ( yang baik dan sihat) dengan izin tuhannya, manakala negara yang buruk, tidak akan dapat menghasilkan kecuali pengeluaran yang buruk. Demikianlah Kami ajukan tanda-tanda kebesaran Kami kepada kaum yang bersyukur."
وَالْبَلَدُ الطَّيِّبُ يَخْرُجُ نَبَاتُهُ بِإِذْنِ رَبِّهِ وَالَّذِي خَبُثَ لَا يَخْرُجُ إِلَّا نَكِدًا كَذَلِكَ نُصَرِّفُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَشْكُرُونَ
Maksudnya :
"Negara yang baik (makmur) akan menampilkan hasil mahsulnya ( yang baik dan sihat) dengan izin tuhannya, manakala negara yang buruk, tidak akan dapat menghasilkan kecuali pengeluaran yang buruk. Demikianlah Kami ajukan tanda-tanda kebesaran Kami kepada kaum yang bersyukur."
Surah al 'Araf, ayat 58.
Masyarakat yang buruk ialah masyarakat yang
tidak melaksanakan syariat Allah. Mereka menguatkuasakan peraturan dan
undang-undang ciptaan manusia yang menyimpang dari jalan Allah yang lurus.
Dengan demikian, warganya sudah pasti akan berkembang di dalam masalah sosial
yang tidak sihat. Mereka akan terpengaruh dengan gejala-gejala kejahatan yang
berkembang pesat dalam masyarakat yang dilanda oleh fenomena moral berkenaan.
c- Qudwah Hasanah
c- Qudwah Hasanah
Manusia juga dipengaruhi oleh idolanya. Idola
tersebut kerap menjadi rol model dalam kehidupan mereka. Manusia yang
berperanan menjadi rol model tersebut antara lain ialah tokoh politik, artis,
seniman, atlit sukan, ibu bapa, guru dan sebagainya. Meskipun Rasulullah adalah
qudwah yang paling ideal bagi umat Islam, namun penghayatan nilai-nilai yang
dibawa oleh Rasulullah hendaklah dipaparkan oleh golongan idola berkenaan.
Mereka sewajarnya sentiasa berusaha menunjukkan contoh dan teladan yang terpuji
agar dapat ditiru oleh generasi muda.
Penghayatan golongan idola tersebut terhadap
nilai-nilai yang luhur dan utama pasti akan mengukuhkan keyakinan generasi baru
bahawa keutamaan dan keluhuran memang sebenarnya boleh dilaksanakan. Ia bukan
zaman dahulu kala atau idealisme khayalan belaka; tetapi malah ianya suatu
realiti yang tentunya boleh dicontohi dan direalisasi oleh generasi masa kini.
Allah SWT berfirman:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ
أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ
اللَّهَ كَثِيرًا
Bermaksud;
"sesungguhnya Rasulullah itu bagi kamu adalah contoh ikutan yang baik untuk mereka yang mengharapkan Allah, mengharapkan ( ganjaran ) hari akhirat dan mereka yang kerap mengingati Allah." Surah al Ahzab, ayat 21.
"sesungguhnya Rasulullah itu bagi kamu adalah contoh ikutan yang baik untuk mereka yang mengharapkan Allah, mengharapkan ( ganjaran ) hari akhirat dan mereka yang kerap mengingati Allah." Surah al Ahzab, ayat 21.
d- Tekanan Sosial Dari Masyarakat Islam
Antara mekanisme yang digunakan oleh Islam
dalam membentuk penganutnya serta memastikan mereka melaksanakan tata kelakuan
berakhlak ialah wujudnya komuniti sosial yang komited dengan dasar dan
prinsip-prinsip Islam. Masyarakat Islam yang mempunyai impak yang besar dan
pengaruh yang kuat dalam memaksa individu mengamalkan atau menurut nilai dan
norma-norma akhlak. Mereka boleh melaksanakan tekanan moral yang berkesan untuk
mendisplinkan golongan yang berkecenderungan untuk melakukan kejahatan. Manusia
memang suka dipuji, dihormati dan disanjung. Manusia juga takut dikeji dan
dicemuh oleh kumpulan di mana ia mempunyai sense of belonging kepada
mereka.
Faktor-faktor tersebut adalah anak kunci yang
sedikit sebanyak menentukan tindak-tanduk seseorang. Masyarakat Islam yang
aktif boleh berperanan menyuburkan semangat dan amalan hidup berakhlak. Ia juga
boleh membendung trend-trend kufur dan maksiat dalam masyarakat melalui
perlaksanaan amal mak'ruf dan nahi mungkar. Apabila masyarakat kehilangan
keprihatinannya terhadap kewajipan menegakkan makruf dan mencegah yang mungkar,
maka bermulalah proses penghakisan moral, akhlak dan martabat umat berkenaan.
e- Kuasa Negara Islam melalui sistem
keadilan dan galakannya
Tuntutan akhlak dan nilai-nilainya tidak akan
bermaya tanpa digandingi oleh kuasa atau autoriti yang menguatkuasakan
nilai-nilai tersebut. Oleh kerana itu, antara tanggungjawab negara Islam ialah
mewujudkan mekanisme dan jentera-jentera pentadbiran yang dapat beroperasi
untuk memastikan ketertiban serta penghayatan kaedah-kaedah akhlak dalam
masyarakat. Jika negara tidak melaksanakan amanah ini kerana ia tidak
berlandaskan sistem perlembagaan dan undang-undang Islam sudah pasti keadaan
akhlak umat akan lebih parah dan malang.Melalui puluhan kementerian,
badan-badan berkanun, agensi-agensi kerajaan akhlak akan digugat dan dihakis.
Amalan pemerintahan yang tidak adil menjanjikan kemusnahan bukan hanya dalam
bidang akhlak tetapi juga dalam semua hal.
Selain dari apa yang telah dinyatakan di atas
maka akhlak juga boleh dibentuk oleh media massa, sekolah, rakan sebaya, masjid
atau surau dan sebagainya. Untuk lebih jelas ada baiknya kita terangkan satu
persatu peranan tersebut :
f - Peranan Media Massa
Media massa merupakan satu mekanisme yang
mempunyai pengaruh yang amat besar dan berkesan di dalam pembentukan
keperibadian manusia. Ia merupakan agen sosialisasi dan memainkan peranan
penting di dalam menanam dan menggalakkan amalan-amalan berakhlak di dalam
masyarakat. Media massa mampu mencorakkan hati budi, mentaliti dan sahsiah umat
khasnya yang beroperasi 24 jam. Media massa tersebut perlu bebas dari cengkaman
faham sekularisme, budaya komersial yang melampau, faham kebendaan dan dorongan
untuk hidup secara mewah dan berpoya-poya. Media massa hendaklah mempunyai asas
falsafah dan dasar-dasar komunikasi yang selaras dengan nilai-nilai akhlak
Islam. Para petugas media massa hendaklah meningkatkan rasa akauntabiliti,
tanggungjawab dan kewajipan mereka untuk memihak dan menegakkan nilai-nilai
luhur seperti kebenaran, kejujuran dan sebagainya.
Para pengguna media massa terutama golongan
yang bertanggungjawab seperti ibubapa, guru, pemimpin politik dan pentadbir
hendaklah lebih bijaksana dalam mengarah, membimbing, meningkatkan rasionaliti,
kematangan dan kewaspadaan serta keupayaan memilih siaran yang lebih bermanfaat
untuk ditontoni oleh anak-anak atau orang-orang yang di bawah jagaan mereka.
Media massa juga sebenarnya boleh menjadi wahana "cultural domination
dan imperialisme" melalui berbagai saluran teknologi maklumat yang
canggih seperti internet, multimedia dan sebagainya.
g - Peranan Sekolah
g - Peranan Sekolah
Sekolah mempunyai fungsi yang tersendiri dalam
mendidik generasi baru dengan akhlak Islam. Antara lain sekolah boleh :
1. Menggandakan keberkesanan institusi
pendidikan, menambahkan produktivitinya, meningkatkan kewibawaannya di kalangan
setiap anggotanya baik mereka itu pelajar atau petugas.
2. Memperbaiki suasana persekolahan,
mendaulatkan undang-undang atau peraturan Islam khasnya yang berkaitan dengan
persekolahan, memperbaiki hubungan antara sesama anggota sekolah atau
institusi.
3. Memancangkan dengan teguh akan nilai-nilai
murni dan akhlak yang baik seperti ketaatan atas dasar kesedaran menghormati
peraturan dan pihak yang berwewenang, menjaga perasaan orang lain, menjaga
standard layanan dalam berinteraksi, berkorban untuk kepentingan ramai,
bekerjasama, melakukan self criticism, mengawal diri, menghargai ilmu,
menghormati ulama' dan sebagainya.
4. Membaiki prestasi persekolahan murid-murid
dari segi kualiti dan kuantiti, mendidik mereka dari segi agama, akhlak dan
sosial secara wajar dan sihat, mempersiapkan mereka agar dapat memikul tugas
dan tanggungjawab yang bakal mereka hadapi; di samping melatih mereka menghukum
atau menilai diri sendiri sebagai seorang yang berfikiran matang dan bebas.
Para pelajar di sekolah hendaklah dilatih
supaya merendah diri dan memuliakan orang yang mereka bergaul dengan mereka.
Mereka hendaklah digalakkan lebih suka memberi dari menerima. Dalam sanubari
mereka patut dicambahkan keinsafan bahawa tangan yang memberi lebih utama dari
tangan yang menerima. Disuburkan pula perasaan zuhud dalam hatinya dan di asuh
agar tidak menjadi mata duitan.
Mereka harus juga diasuh supaya tidak meludah
dalam majlis atau berkahak, tidak menguap besar di hadapan orang, tidak
meletakkan kaki di atas sebelah kaki yang lain serta tidak membanyakkan cakap.
Anak-anak harus digalakkan tidak banyak bercakap kecuali sekadar menjawab.
Mereka harus dilatih pandai mendengar tuturan orang, lebih-lebih lagi jika
orang yang bercakap itu lebih tua daripadanya.
Mereka mesti ditegah mengucapkan kata-kata
kesat, atau bergaul dengan orang-orang yang celupar. Justeru antara kaedah
mendidik anak-anak ialah melindungi mereka dari rakan-rakan yang jahat. Selain
dari itu elok juga selepas belajar mereka dibenarkan bermain-main untuk
menyegarkan tubuh mereka setelah penat belajar. Mereka hendaklah diasuh supaya
patuh kepada ibu bapa, guru dan menghurmati mereka.
Selain dari latihan serta disiplin seperti di
atas, pelajar harus juga dilatih menghargai tugas dan tanggung jawab dengan
cara yang bijak, lemah-lembut tanpa terburu-buru melaksanakan kekerasan atau
pemaksaan melalui penderaan. Kepatuhan yang lahir dari keinsafan dan kesedaran
batin biasanya lebih berkesan dan mantap. Bagi seorang pendidik menggunakan
tindakan menghukum biarlah terhadap perkara yang paling akhir dalam fikirannya;
samada mereka golongan guru atau bapa. Bahkan apabila hukum hendak dikenakan
kepada murid biarlah sekadar yang perlu sahaja.
Bimbingan dan nasihat yang lemah lembut tetapi
tegas kadang-kadang lebih meninggalkan kesan di dalam hati serta dipatuhi.
Hukuman atau penderaan bukanlah langkah utama yang merupakan satu-satunya
penyelesaian. Penderaan adalah langkah terakhir apabila contoh yang baik,
nasihat dan hubungan kasih sayang antara anak dan bapa atau guru tidak mampu
lagi untuk digunakan.
Rasulullah bersabda yang bermaksud :
"Suruhlah anak-anak kamu menunaikan solat
ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka ( kerana enggan
sembahyang ) apabila umur mereka sepuluh tahun".
(Hadith diriwayatkan oleh Abu Daud).
Demikianlah dalam Islam pembelajaran tidak
dimulai dengan rotan atau hukuman. Malah di dahului oleh berbagai cara dan pendekatan
untuk memupuk kebiasaan dan akhlak yang terpuji seperti melatih bersembahyang
dengan menggunakan kecenderungan meniru yang menjadi pembawaan kanak-kanak dan
dengan rasa yang penuh kasih sayang dari orang dewasa. Misalnya dengan
memaparkan contoh, nasihat, perkataan yang baik, teguran yang lemah lembut
tetapi tegas dan sebagainya. Sekiranya cara-cara tersebut gagal barulah
dikenakan sedikit kekerasan yang bertujuan mendidik bukan yang menimbulkan kecacatan
fizikal dan sebagainya.
Firman Allah :
Firman Allah :
فَبِمَا
رَحْمَةٍ مِنْ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ
لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ
"Dengan rahmat ALlah kepadamu itu maka
engkau berlemah lembut menghadapi mereka. Seandainya hatimu keras dan (sikapmu)
kasar nescaya mereka bubar dari sekelilingmu.”
(Surah Ali Imran : ayat 159)
(Surah Ali Imran : ayat 159)
Satu hakikat pembelajaran yang lumrah di
sekolah ialah murid kerap dipengaruhi oleh sifat, kebiasaan dan akhlak guru.
Sekiranya guru mempunyai akhlak yang baik murid ikut terpengaruh dengan akhlak
ini. Demikianlah sebaliknya. Pandangan negatif murid bukan setakat terhad
kepada guru tetapi juga mungkin menjangkau kepada pelajaran, kepada sekolah dan
seterusnya kepada sistem persekolahan keseluruhannya.
Displin sekolah hendaklah dilaksanakan dengan
semangat kerjasama. Guru besar, nazir, guru, murid malah ibubapa hendaklah
sama-sama berperanan. Ini bermakna harus ada penerimaan dan permuafakatan
tentang polisi dan cara-cara merealisasikannya seboleh-bolehnya dari semua
pihak agar masing-masing melindungi dan mempertahankannya.
Usaha mengatasi masalah di sekolah hendaklah
dengan menghapuskan sebab-sebab pokok atau punca dari mana datangnya
permasalahan itu. Ini termasuk menghapuskan suasana yang membantu atau
menyokong salah laku dari murid . Di samping itu juga penyelesaian boleh di
usahakan dengan mengambil langkah pencegahan dan mengujudkan suasana yang lebih
positif. Ini di dasarkan kepada prinsip "mencegah lebih baik dari
merawat".
Antara langkah-langkah yang boleh dilakukan
oleh sekolah dalam membangun akhlak ialah dengan mengadakan kempen menyedarkan
murid tentang keperluan menghormati disiplin sekolah, menerangkan tentang
mengapa suatu disiplin itu dibuat dan memperbanyakkan aktiviti sekolah dengan
mempelbagaikannya, menggunakan atau memenuhi masa lapang murid,
menghubung-kaitkan sukatan pelajaran dengan keperluan diri dan masyarakat
mereka dan langkah-langkah yang lain.
h - Peranan rakan sebaya
Antara agen sosial yang berpengaruh di dalam
membentuk sikap dan akhlak individu ialah rakan sebaya. Rakan sebaya merupakan
kelompok rujukan bagi remaja di dalam tingkah laku mereka. Perasaan "sense
of belonging" kepada kumpulan adalah suatu yang lumrah. Remaja akan
mengubahsuai dan mengadaptasikan nilai-nilai rakan sebayanya untuk mendapat
penerimaan dan pengakuran mereka. Remaja memang menyedari adanya jurang
generasi antara mereka dengan kumpulan dewasa dan mereka sering berhadapan
masalah dalam mewujudkan hubungan dengan generasi yang lebih tua. Kajian yang
dilakukan oleh Lambert dan rakan-rakannya ( 1972 ) menunjukkan remaja
menghadapi berbagai konflik apabila mereka berusaha merentasi jurang generasi(
generation gap ) tersebut antara pemikiran mereka dan pemikiran ibubapa mereka.
Kajian menunjukkan bahawa masalah remaja lelaki
dan perempuan adalah :
1. kesukaran untuk membincangkan permasalahan
mereka dengan para ibubapa mereka dan para penjaga mereka
2. kesukaran untuk memberitahu ibubapa dan
penjaga mereka mengenai apa yang mereka lakukan
3. wujudnya jarak yang agak lebar antara jalan fikiran mereka dengan jalan pemikiran ibubapa dan penjaga mereka.
3. wujudnya jarak yang agak lebar antara jalan fikiran mereka dengan jalan pemikiran ibubapa dan penjaga mereka.
Oleh kerana itu golongan remaja umpamanya
sering merujuk rakan sebaya dan kelompok sosial tertentu untuk mendapat
bimbingan ke arah menyelesaikan masalah mereka. Kesilapan di dalam memilih
kelompok rakan setara samada bersahabat dengan penagih dadah, kutu lepak,
gangster atau kumpulan samseng, bohsia dan sebagainya pasti akan mengakibatkan
kemusnahan akhlak golongan remaja dan dewasa .
i - Peranan rumah ibadah
Bagi umat Islam, rumah ibadat yang paling
penting ialah masjid. Di sinilah umat Islam sering berkumpul untuk menyembah
Allah secara berjamaah. Sebab itulah di mana sahaja dalam negara umat Islam;
bahkan di kota-kota besar dunia kedapatan bangunan masjid yang berbagai bentuk
dan rupa. Ada yang kecil dan ada pula yang besar. Masjid sentiasa menjadi
lambang kemegahan umat dan pemerintah Islam. Sebagai tempat ibadah masjid
mempunyai peranan dan pengaruh yang besar dalam meneruskan penghayatan
nilai-nilai akhlak dalam masyarakat Islam. Kelangsungan budaya, cara hidup dan
syiar Islam lumrahnya diperkukuhkan oleh institusi ini. Sebab itu perkara
pertama yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W ketika baginda berhijrah ke
Madinah al Munauwarah ialah membina Masjid Quba' dan Masjid Nabawi.
Ilmu yang dipelajari di masjid pada masa dahulu
bersepadu dengan nilai tauhid, ruh Islam dan akhlak . Ia mengimbaukan ketakwaan
dan mengukuhkan ubudiah manusia kepada Allah . Ilmu yang dipelajar membawa
berkat dan meningkatkan ciri khasyatullah atau takut kepada Allah. Sebab itu
lahir para ulama dan ilmuan yang jujur, soleh dan dedikasi. Apabila semangat
dan imbauan seperti ini sudah tiada lagi ilmu disalut dengan semangat kebendaan
dan keserakahan manusia. Sebab itu muncullah ilmuan-ilmuan sekular yang amat
benci kepada Islam dan ajaran Allah itu sendiri .
Ada berbagai bentuk kegiatan keilmuan,
kebudayaan dan kemasyarakatan yang boleh dijalankan di dalam atau di pekarangan
masjid untuk tujuan mengukuhkan akhlak dan sahsiah umat . Antaranya ialah:
1.
Kelas Fardu Ain
2.
Kelas Tajuid
& Qiraat.
3.
Kelas Bimbingan
Remaja.
4.
Kelas Bahasa
Arab.
5.
Ceramah
Berkala.
6.
Seminar
Motivasi dan Pembentukan Syakhsiah.
7.
Kursus
Rumahtangga Bahagia.
8.
Kursus
Pengurusan Jenazah.
9.
Madrasah atau
Sistem Pengajian Formal.
10.
Kursus Dakwah
dan Imamah.
11.
Acara Tadarus
al-Quran.
12.
Khemah Ibadan
& Qiamullail.
13.
Kursus
Pengurusan Masjid.
14.
Kegiatan Amar
Ma'ruf & Nahi Munkar.
15.
Seminar
Pengurusan Sumber Masjid.
16.
Kempin
Memakmurkan Masjid.
17.
Membentuk
organisasi Belia Masjid ( Rakan Masjid )
Seluruh agensi sosial, Jentera Kerajaan,
Kementerian dan Badan-badan Berkanun, NGO dan Badan-badan Korporat, swasta dan
awam hendaklah digembling untuk bersama-sama berperanan meningkatkan kualiti
akhlak umat samada dengan mengadakan kempen hidup beretika dan berakhlak atau
melancarkan buku-buku rujukan yang menjelaskan nilai-nilai akhlak tersebut dan
sebagainya.
Rumusan
Rumusan
Gagasan dan tugas untuk membangun, memupuk dan
meningkatkan mutu akhlak umat khasnya di kalangan remaja adalah suatu
tanggungjawab besar. Ia tidak dapat dilakukan dengan jayanya kecuali oleh
manusia yang berjiwa besar dan mempunyai kualiti kemanusian yang tinggi. Ia
harus bermula dengan melahirkan para pemimpin umat yang berakhlak, beriman dan
bertakwa. Pemimpin yang mempunyai iltizam yang tidak berbelah bagi kepada
set-set nilai akhlak Islam, mempunyai kerohanian yang amat tinggi, mewarisi
ciri perjuangan Rasulullah yang diutus untuk membangun akhlak dan keluhuran
akan beroleh kedudukan dalam pemerintahan lantas memastikan semua umat menunaikan
solat, mengeluarkan zakat, menyuruh yang makruf, mencegah yang mungkar,
menghalalkan apa yang dihalalkan oleh Allah, mengharamkan apa yang diharamkan
oleh Allah. Mereka menguatkuasakan sistem hidup Islam yang memang membela
akhlak. Mereka melaksanakan undang-undang Allah yang sebenarnya memang
melindungi nilai dan norma akhlak dalam masyarakat.
Dengan adanya pemimpin yang soleh dan bertakwa
seluruh agen sosialisasi dan jentera kerajaan akan menghala ke arah yang sama.
Rakyat akan terbentuk oleh media yang beretika dan berakhlak. Pengaruh luar
yang buruk akan disekat samada dalam rancangan tv, filem, internet maupun apa
jua pengaruh lain yang mengancam jatidiri dan maruah umat. Dasar-dasar
kementerian dan agensi pembangunan masyarakat akan selaras dengan tuntutan
nilai dan tatanan akhlak. Tidak berlaku proses pertentangan antara kerja
membangun dan merosak akhlak serentak dalam jentera-jentera berkenaan.
Agenda-agenda khusus menangani gejala
keruntuhan dan kemorosatan akhlak akan disusun dengan lebih berkesan dan
menyeluruh. Segala-galanya akan dimanfaatkan dalam menjana kekuatan untuk
meningkatkan mertabat umat dalam segala bidang.Kebenaran keadilan dan ihsan
akan didaulatkan . Manusia diasuh kembali menjadi hamba Allah yang ta'at dan
bukan hamba benda, wang, pembangunan, bangsa atau negara. Semoga semua
langkah-langkah yang dicadangkan di atas dapat membantu mengatasi masalah
keruntuhan akhlak atau seks bebas yang
semakin berleluasa, khasnya di kalangan remaja kita dewasa ini.
iman tidak terganggu kerana maksiat
ReplyDeletetaat tidak terpengaruh kerana kafir
moralnya: kita tetap berIman dan jangan murtad